Tuesday, October 19, 2010

"INTERCOLLEGE DAY 1" KOLEJ KEDIAMAN 2010


       “Inter College Day” telah berlangsung pada 30 April 2010 sehingga 2 Mei 2010 yang lalu. Program ini dijalankan bertujuan untuk memberi galakan kepada penghuni kolej kediaman untuk aktif dalam bidang sukan. Di samping itu, penglibatan aktif dalam aktiviti kolej kediaman dapat mewujudkan suasana penempatan yang ceria dan harmoni. Program ini juga bertujuan untuk merapatkan lagi hubungan silaturrahim dalam kalangan warga kampus selain dapat menarik minat guru-guru pelatih untuk melibatkan diri dalam sukan.




        

     

Pelbagai aktiviti menarik telah diadakan sepanjang program ini berlangsung. Program ini bermula dengan pertandingan nasyid antara kolej kediaman. Setiap kolej kediaman perlu menghantar 1 kumpulan. Penyertaan amat memberangsangkan daripada semua pihak sehingga Kolej Kediaman Tun Abdul Razak menghantar 2 wakil. Pihak penghuni turut memberi kerjasama yang sebaiknya dengan menghadiri program ini sehingga kerusi yang disediakan tidak mencukupi. Pihak warden yang mahir dalam menilai kehalusan suara telah dijemput untuk menjadi juri. Antaranya, En Kamaruddin, Puan Norma dan En Hasyim. Keputusannya, Kolej Kediaman Tun Hussein Onn menjadi juara diikuti Kolej Kediaman Tunku Abdul Rahman dan tempat ketiga, Kolej Kediaman Tun Mahathir Mohamad. Program ini bertambah meriah dengan kehadiran Timbalan Pengarah, Cik Hjh Rosenah.

Pada 1 Mei 2010 pula telah berlangsungnya pertandingan bola sepak, bola tampar, bola jaring dan badminton. Pertandingan ini telah berlangsung pada masa yang sama iaitu pada pukul 8 pagi sehingga 2 petang. Pertandingan bola sepak  telah disertai oleh peserta lelaki dan telah berlangsung di padang bola sepak. Pertandingan bola jaring pula telah disertai oleh peserta wanita dan telah diadakan di padang bola jaring dan pertandingan bola tampar telah disertai kedua-duanya dan diadakan di padang bola tampar masing-masing selain badminton yang diadakan di gimnasium. Permainan bola sepak, bola tampar dan bola jaring dijalankan secara liga dan dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu kumpulan A dan B. Juara kumpulan A akan berlawan dengan naib johan kumpulan B dan sebaliknya bagi menentukan siapa yang akan mara ke perlawanan akhir. Bagi badminton pula, pertandingan dilakukan secara kalah mati kerana penyertaan agak ramai.

Tujuan pertandingan ini diadakan adalah untuk memberi pengalaman dan pendedahan permainan ini kepada peserta selain memberi keseronokan kepada mereka. Pertandingan ini juga telah berjalan dengan lancar dengan bilangan penyertaan yang begitu memberangsangkan. Pengurusan peralatan dan pengadilan juga tidak mempunyai sebarang masalah.

Terdapat beberapa perkara yang boleh diperbaiki seperti menyediakan pasukan penyelamat dan peti keselamatan untuk peserta yang mengalami kecederaan. Semasa aktiviti ini dijalankan, pihak warden seperti  Pn Norma, En Kamaruddin, Ustaz Muaaz serta En Zamri turut hadir untuk memantau walaupun pada hari itu merupakan Hari Pekerja. Penghuni juga ramai yang turun bagi memeriahkan program dengan menyokong peserta dari  kolej kediaman masing-masing. Kelihatan semua peserta bermain dengan bersungguh-sungguh bagi meneruskan perlawanan sehingga ke peringkat akhir. Semua acara berakhir jam 2 petang dengan penghabisan separuh akhir setiap acara.

Pada 2 Mei 2010, program disambung dengan acara akhir setiap pertandingan. Pertandingan bermula seawal jam 8 pagi. Nampaknya, peserta bermain dengan hebat sekali bagi menjuarai setiap acara. Penghuni kolej kediaman menyokong peserta dari kolej kediaman masing-masing bagi memenangi acara tersebut. Setelah tamat semua acara, penghuni serta peserta berkumpul di hadapan astaka bagi upacara penyampaian hadiah dan ucapan penutupan oleh Ustaz Muaaz, Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar. Selepas ucapan penutupan, kumpulan “band” IPG KPT membuat persembahan lagu untuk memeriahkan lagi majlis sebelum keputusan rasmi pertandingan diumumkan.

Keputusannya, bola sepak dimenangi oleh Kolej Kediaman Tunku Abdul Rahman, diikuti tempat kedua dan ketiga yang kedua-duanya dimenangi oleh Kolej Kediaman Tun Hussein Onn. Bagi bola tampar lelaki, KPLI menjadi johan, diikuti tempat kedua oleh Tun Hussein Onn, dan ketiga oleh Tunku Abdul Rahman. Bagi peserta wanita, acara dimenangi Tun Abdullah Ahmad Badawi, kedua Tun Mahathir Mohamad dan ketiga Tun Abdul Razak. Bagi acara bola jaring pula, johan dan naib johan disandang Tun Mahathir Mohamad dan ketiga Tun Abdul Razak. Bagi acara badminton single lelaki,johan dan naib johan daripada Tun Hussein Onn, manakala ketiga Tunku Abdul Rahman. Bagi single wanita, johan daripada Tun Abdul Razak, kedua dan ketiga daripada Tun Mahathir Mohamad. Bagi beregu lelaki, Tun Hussein Onn menjadi johan dan naib johan serta tempat ketiga dimenangi Tunku Abdul Rahman. Bagi beregu wanita, johan disandang oleh Tun Mahathir Mohamad, kedua pula Tun Abdullah Ahmad Badawi dan ketiga Tun Abdul Razak.

Juara keseluruhan telah dimenangi oleh Kolej Kediaman Tun Hussein Onn dan penyertaan yang terbanyak juga dimenangi Kolej Kediaman Tun Hussein Onn. Semua peserta berpuas hati dengan kejayaan masing-masing. Selepas upacara penyampaian hadiah, sesi bergambar bersama pemenang dijalankan sebagai kenang-kenangan.

Program ini diharapkan dapat menjayakan wawasan dan matlamat pendidikan serta melahirkan insan guru yang berkualiti dari pelbagai aspek selain  membentuk modal insan yang cemerlang, gemilang, dan terbilang. Diharapkan juga agar semua warga IPG Kampus Pendidikan Teknik dapat menambahkan lagi pengetahuan dan pengalaman sedia ada bagi menyempurnakan lagi tugas sebagai seorang guru kelak.

1 comment:

  1. tolong btulkan maklumat untuk kputusan bola jaring ya.
    ade kesalahan disitu:)
    johan : mahathir
    n.johan :tun abdullah
    ketiga : razak
    blog yg nice! :)
    truskan usaha ya~

    ReplyDelete