Tuesday, October 19, 2010

LATIHAN KECEMASAN KEBAKARAN KOLEJ KEDIAMAN 2010

Latihan Kebakaran IPG Kampus Pendidikan Teknik  telah diadakan pada 5 Ogos 2010 yang lalu. Program ini telah dianjurkan oleh Exco Kolej Kediaman Jawatankuasa Perwakilan Pelajar Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Pendidikan Teknik dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Pelajar Institut Pendidikan Guru  Kampus Pendidikan Teknik.

Ceramah dan latihan kebakaran ini adalah untuk menyedarkan warga Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Pendidikan Teknik tentang keselamatan semasa berada di kolej kediaman. Selain itu, program seumpama ini akan dapat membantu kerajaan Malaysia dalam menangani masalah kebakaran dan menyebabkan kemalangan jiwa yang semakin meningkat. 






Objektif utama program ini ialah untuk mendedahkan kepada pelajar tentang punca-punca berlakunya  kebakaran. Selain itu, aktiviti ini juga dapat mendidik pelajar ke arah sikap yang betul semasa menyelamatkan diri. Program ini juga dapat menanam nilai murni seperti sabar, menghormati orang lain dan toleransi di kalangan penghuni-penghuni kolej kediaman IPG KPT. Pada masa yang sama, ia juga dapat mengeratkan hubungan institut dengan pihak-pihak berkuasa seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Pada masa tersebut, satu kebakaran telah berlaku di Kolej Kediaman B. Beberapa orang penghuni telah terperangkap. Siren kecemasan telah dibunyikan dan semua penghuni kolej kediaman telah turun berkumpul di tempat yang telah ditetapkan. Pihak bomba telah datang untuk menyelamatkan keadaan. Setelah beberapa ketika, pihak bomba telah berjaya menyelamatkan semua penghuni yang terperangkap.

Semua situasi tersebut sebenarnya telah dirancang terlebih dahulu. Ia adalah bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada semua penghuni kolej kediaman tentang langkah-langkah yang perlu diambil semasa kebakaran sebenar berlaku. Penghuni-penghuni akan dapat menggunakan pengalaman tersebut untuk menyelamatkan diri sekiranya perkara-perkara yang tidak diingini seperti kebakaran, gempa bumi dan tanah runtuh berlaku.

Selepas operasi penyelamatan selesai, semua penghuni berkumpul di perkarangan dewan. Di situ, pihak bomba telah memberikan taklimat sedikit sebanyak tentang  proses yang baru sahaja berlaku. Pihak bomba telah menerangkan tentang beberapa kelemahan ketara yang perlu diambil berat oleh setiap penghuni sekiranya tidak mahu kejadian yang tidak diingini berlaku. Selepas taklimat tersebut selesai,  pihak bomba telah membuat demonstrasi memadamkan kebakaran dengan menggunakan pemadam api. Pemadam api jenis karbon dioksida telah digunakan untuk memadamkan api yang dinyalakan di dalam bekas khas. Beberapa orang pelajar telah diberi peluang untuk mencuba memadamkan api menggunakan alat pemadam api dengan tunjuk ajar daripada ahli bomba tersebut.

Semua penghuni bersurai pada jam 1 pagi dan semua ahli bomba yang terlibat dan semua warden telah dijemput ke kafeteria untuk jamuan ringan.

No comments:

Post a Comment