Wednesday, November 24, 2010

JAMUAN KOLEJ KEDIAMAN 2010

Hari Jumaat yang lalu bertarikh 29 Oktober 2010 merupakan tarikh keramat bagi semua penghuni kolej kediaman Institut Pendidikan Guru, Kampus Pendidikan Teknik, Kuala Lumpur. Tarikh ini meyaksikan pelbagai kejutan yang dilakukan bagi kesemua penghuni kolej kediaman yang terdiri daripada 3 kolej kediaman bagi pelajar puteri dan 2 buah kolej kediaman bagi pelajar putera. Selain daripada itu, ianya merupakan hari yang sungguh bermakna berikutan buat julung kalinya jamuan makan yang menggabungkan kelima-lima buah kolej kediaman diadakan.







Pada malam itu, terdapat pelbagai acara yang telah diadakan khusus untuk kesemua penghuni kolej kediaman. Antaranya, pelancaran blog dan ‘group facebook’ bagi kolej kediaman IPG Kampus Teknik, Kuala Lumpur, penyampaian hadiah bagi keputusan Hari Terbuka dan Silaturrahim yang lepas, persembahan dikir barat penghuni kolej kediaman, nyanyian solo, penyampaian hadiah bagi keputusan Inter College 2 yang telah berlangsung pada minggu sebelumnya dan juga penyampaian cenderamata penghargaan kepada AJK Tertinggi setiap kolej kediaman serta Warden-Warden Kolej Kediaman.

Jamuan Makan Malam ini agak unik diadakan berikutan sistem kupon makanan telah diperkenalkan. Bagi memastikan setiap penghuni memperolehi makanan yang disediakan,penghuni menerima lima keping kupon berlainan warna yang mewakili 5 jenis makanan yang berbeza yang disediakan oleh setiap penghuni kolej kediaman yang berbeza. Antara makanan yang disediakan pada malam itu ialah, nasi beriyani, mee kari, aiskrim, air anggur dan jeli kelapa serta kuih dan kek.

Majlis pada malam itu dimulakan dengan ucapan daripada Tuan Haji Roslan bin Abd Hamid, Pengarah IPG Kampus Pendidikan Teknik, Kuala Lumpur yang turut melancarkan blog kolej kediaman yang bernama ‘Teratak Murabbi’ serta ‘group facebook” Kolej Kediaman IPG Kampus Pendidikan Teknik, Kuala Lumpur. Kedua-dua medium ini bertindak sebagai wadah informasi kepada semua penghuni selain penghubung sebarang aduan, komen atau masalah daripada penghuni kolej kediaman.



Suasana makan malam itu diserikan lagi dengan persembahan dikir barat yang menarik dan juga persembahan video yang memaparkan segala aktiviti yang telah diadakan sepanjang tahun 2010. Majlis diteruskan lagi dengan penyampaian hadiah bagi Hari Terbuka Kolej Kediaman yang lepas. Pemenang keseluruhan bagi pertandingan ini dimenangi oleh Kolej Kediaman Tun Abdul Razak yang memperolehi purata keseluruhan tertinggi.

Selain daripada itu, penyampaian hadiah bagi sukan-sukan yang telah diadakan pada Inter College 2 yang lepas turut diadakan. Terdapat pelbagai sukan yang dipertandingkan antaranya termasuklah bola sepak, bola jaring, bola tampar, bola baling dan juga badminton. Kelima-lima buah kolej kediaman bersaing dengan sengit bagi mendapatkan kejuaraan sekaligus merangkul piala Pemenang Keseluruhan. Inter College 2 ini menyaksikan juara bertahan, iaitu Kolej Kediaman Tun Hussein mengekalkan prestai penghuni mereka melalui pemerolehan markah yang tertinggi berbanding dengan kolej kediaman yang lain.

Majlis ditamatkan dengan penyampaian cenderamata penghargaan kepada kesemua Ahli Jawatankuasa Tertinggi bagi setiap kolej kediaman yang telah bertungkus-lumus mencurahkan bakti sepanjang tahun 2010 ini. Penghargaan turut diberikan kepada semua Warden yang tidak jemu menangani masalah yang menimpa penghuni-penghuni kolej kediaman. Bagi memperingati majlis Jamuan Kolej Kediaman 2010 ini, setiap penghuni diberikan ‘button’ yang menarik sebagai cenderamata menghadiri majlis ini.

          Ribuan terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang tidak jemu memberikan kerjasama kepada Exco Kolej Kediaman Sesi 2010/2011 terutamanya 3 PPISMP Matematik yang bertindak sebagai pengelola Inter College 2 yang lepas selain turut terlibat dalam pelancaran blog ‘Teratak Murabbi’ dan juga ‘group facebook’. Kepada Ketua-ketua Kolej Kediaman yang lain, sumbangan dan komitmen yang telah diberikan anda memuaskan hati selain turut memastikan Majlis Jamuan Kolej Kediaman ini berjalan dengan lancar. Warden-warden Kolej Kediaman turut tidak dilupakan dengan segala keprihatinan terhadap semua penghuni kolej kediaman IPG Kampus Pendidikan Teknik, Kuala Lumpur. Sekian, terima kasih untuk segalanya.







          

No comments:

Post a Comment